Ads

Monday, May 08, 2006

Antara Bijak dan pura-pura Bijak..

Saya tangguhkan dahulu karangan saya bertajuk "Anak Muda Dan Pendidikan"


Saya bersekolah di Felda dahulu. Umumnya, di Felda, kami dikelilingi dengan panorama alam semulajadi yang rimbun dan kehidupan kami banyak dibentuk oleh interaksi manusia-alam semulajadi yang benar-benar genuine. Untuk dijadikan cerita, mungkin akibat interaksi manusia-alam semulajadi yang kami lalui hari-hari, pada suatu hari kelas saya di masuki seekor lipan hitam. Masa itu saya baru darjah 3. Tiba-tiba muncul kawan saya, dengan sebatang pisau lipat 3 inci menunjukkan gaya Hollywood cuba memancung lipan bara itu. Kami tergamam bercampur cuak. Dan seperti diduga, kawan saya itu gagal memancung lipan itu, tetapi yang paling malang sekali, jarinya pula di sengat. Tidak lama selepas itu kawan saya meraung-raung apabila bisa lipan sudah mula menjalar di dalam saluran darah. Dia di bawa oleh cikgu Hassan ke klinik. Sebelum di bawa ke klinik, sempat cikgu kami menunjal kepala kawan saya ini kerana begitu bodoh menunjuk-nunjuk bijak dengan cuba memancung lipan itu hanya dengan menggunakan pisau lipat 3 inci.

Rupanya cerita orang menunjuk-nunjuk bijak ini tidak hanya melekat di jiwa anak-anak Felda seperti saya dan kawan saya tadi. Di Malaysia ini, sikap menunjuk-nunjuk pandai telah pun menjangkau batasan politik sehingga di hari ini, saya melihat yang sikap ini telah pun melekat dan sebati di dalam jiwa orang-orang penting negara.

Dan contoh paling tersurat sekali boleh di saksikan dalam isu jamban...opss...jambatan...

Pada saya, isu ini di timbulkan atas nawaitu politik peribadi orang-orang tertentu. Bagi saya, tak menjadi kesalahan meletakkan kepentingan sesuatu perkara atas dasar kepentingan peribadi, sebab bilamana seseorang menjadi pemimpin, perkara teratas yang paling di lihat oleh rakyat adalah sikap seseorang pemimpin meletakkan harga dirinya apabila berhadapan musuh. Bermaksud, jika si fulan adalah pemimpin yang bagus, sesuatu isu yang di jadikan kepentingan politik peribadi hendaklah diolah-suai supaya akhirnya ianya menjadi cerminan rakyat dalam menilai moral pemimpin. Dan akhirnya pemimpin itu sendiri berjaya membuktikan yang dia adalah pemimpin yang bagus dan di yakini. Tetapi dalam isu jamban...opss..jambatan, kisahnya lain.

Dalam isu jambatan, kita dihidangkan dengan dua watak. Dua watak ini memerlukan kita menilai mana satu watak orang bijak, dan mana satu watak orang yang pura-pura bijak. Atau adakah dua-dua watak ini bijak ?. Atau dua-dua watak ini cuma buat-buat bijak ?.

Kita telah memasuki laluan yang kompleks berkenaan isu ini apabila perkara-perkara seperti pasir dan ruang udara mula timbul. Berjela-jela surat telah keluar di media dan nampaknya semakin banyak pokok harus di tebang untuk menampung penggunaan kertas-kertas ini. Semakin kompleks pula isu ini apabila timbul pula hal berkenaan OSA oleh seorang Apek tua dari Ipoh di Parlimen.

Tetapi bagi saya yang masih memegang kuat berkenaan Falsafah-falsafah kuno kaum-kaum Felda Rokam Barat dan Kampung Sebasu Muar, adakah isu-isu ini boleh mengembalikan kuasa beli orang-orang Kg Losong Terengganu atau meningkatkan jumlah pembiayaan biasiswa kerajaan untuk anak-anak Islam Hadari seluruh negara ?.

Pada saya semakin kompleks sesuatu perkara, haruslah selalu diingatkan akan hulu atau objektif perkara itu. Seperti cerita-cerita penaklukan tentera kafir di Iraq yang semakin kompleks, hulu kepada peperangan ini adalah, adakah Iraq mempunyai WMD ?. Jika hulu kepada peperangan di Iraq adalah WMD, dunia telah di buktikan yang WMD tidak pernah wujud, jadi kenapa Iraq terus di napalm ?

Kita masuk balik cerita jamban..ops...jambatan. Apakah hulu cerita jambatan yang berjelan-jela ini. Pada saya, kisah jambatan ini sedikit sedikit menelanjangkan siapa yang sebenarnya bijak dan siapa yang hanya pura-pura bijak. Saya tidak mahu memperincikan cerita jambatan ini dengan fakta-fakta kerana fakta-fakta itu semua boleh anda cilok dari laman-laman alternatif di Internet. Dalam hal ini, saya lebih gemar untuk menukilkan akan hal ini dari segi konsep dan logik.

Perang jambatan ini terjadi di antara si Mahathir dengan kerajaan Malaysia. Logik pertama saya, adakah seorang itu pemimpin yang cukup bagus jika 22 tahun yang diberi untuk mengepalai sebuah jajahan tetapi di akhirnya terpaksa memekik melolong untuk memberitahu rakyat rupanya terlalu banyak lompang-lompang yang terlupa untuk di tutup. Terlalu banyak kurap-kurap yang tidak juga sembuh. Dan terlalu banyak skandal-skandal yang merisaukan. Apa yang anda harapkan dari pemimpin yang sebegini ?.

Logik kedua saya, apa yang anda boleh banggakan dengan seorang pemimpin yang di beri masa 22 tahun tetapi di akhirnya kita di paksa untuk berbangga dengan kereta buatan anak tempatan yang mahal dan lousy, penuh dengan tangan-tangan yang hanya pentingkan perut sendiri. Dan kita juga dipaksa berbangga dengan laluan lebuhraya paling selesa dari utara ke selatan dengan kadar tol yang mencekik setiap tahun. Dan kita juga di paksa berbangga dengan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia menelan belanja yang boleh digunakan untuk membina perpustakaan di setiap daerah. "KLCC itu untuk sektor pelancongan Encik Roime". Ye ke untuk sektor pelancongan ?. Ops, nampaknya saya dah terlepas cakap. Habislah saya sebab menyampaikan cerita tak benar. Patutlah saya tengok ramai pelancong Indonesia dengan rambut ala-ala black metal selalu piknik-piknik di taman KLCC. Oh, rupanya KLCC memang terlalu ramai pelancong....... Dan sekali lagi kita dipaksa untuk berbangga dengan pembinaan kompleks kerajaan yang terpaksa di renovate walaupun tak sampai 10 tahun ianya siap. Kah kah kah. Padan muka rakyat Malaysia !

Baiklah saya cuba rungkaikan seupaya mungkin terhadap logik-logik saya diatas. Dalam dok kita bising-bising dengan cerita jambatan, saya ingin bertanya kepada sang arjuna yang mengepalai 'perang' tentang jambatan ini. Adakah andaikata jambatan ini di bina, apa yang bole rakyat seperti Makcik Rubi Kg Mawai Baru dapat ? Adakah jualan karipapnya akan meningkat selepas itu ? Adakah kos untuk minyak motor Makcik Rubi akan berkurangan supaya Makcik Rubi bole membeli majalah mangga kegemarannya ?

Pada saya, ulu kepada cerita jambatan ini masih terlalu kabur. Seperti juga kaburnya objektif kita untuk membina KLCC dan litar sepang. Jika objektif untuk membina jambatan ini jelas, kita tak memerlukan jambatan bengkok atau senget. Kita tak perlukan jambatan yang gemerlap di sadur emas-emas. Kita tak perlu lampu-lampu dari Itali. Dan yang paling utama, jika objektif pembinaan jambatan ini jelas dan terang, cukup sudah jika kita membina jambatan yang di panggil jambatan. Sebengkok mana jambatan yang kita bina, ianya tak akan bertukar menjadi George, Usman, John, Michelle atau Haji Karim. Ianya tetap dipanggil jambatan.

Oleh itu, ape objektif kita untuk membina jambatan bengkok itu ? Mungkin objektif kita ada iaitu membenarkan pengaliran air laut tambak Johor, tetapi objektif yang tidak ikhlas akan menyebabkan objektif itu kabur dan timbul isu-isu yang lari jauh dari kepentingan rakyat.

Jambatan yang digebang-gebangkan itu hanya cerita politik orang-orang tertentu untuk mengisi tembolok keluarga sendiri. Mengaitkan pembinaan jambatan dengan maruah negara seperti juga si Bush mengaitkan pengeboman terhadap anak-anak Iraq atas maruah negara Amerika Syarikat. Terbunuhnya anak-anak Iraq akan memuliakan lagi maruah negara Amerika. Itu kata Bush dan analoginya bole di kaitkan dengan cerita jambatan. Adanya jambatan akan menaikkan maruah Malaysia.

Untuk pertama kalinya sepanjang saya menghela nafas pijaman Illahi di dunia ini, saya akhirnya berpihak di sebelah Abdullah Badawi. Abdullah akhirnya terbukti sebagai seorang yang bijak. Dan akhirnya dia berjaya membuat satu keputusan yang bijak dalam berpuluh-puluh keputusan 'bijak' yang lain. Terbukti IQ nya berada pada tahap 'boleh tahan' dan menafikan kata-kata fitnah sesetengah orang berkenaan IQ nya. Keputusannya memberhentikan pembinaan jambatan pada saya adalah atas alasan objektif yang agak terang dan straight forward. Kita tidak memerlukan jambatan hanya jika rakyat terpaksa memikul berboyot-boyot hutang. Kita tidak memerlukan 'jamban'tan yang hanya membuncitkan kroni-kroni sendiri.

Dan sehingga ini saya masih menunggu objektif sebenar di pihak Mahathir berkenaan pembinaan jambatan. Kata-kata Mahathir bahawa jambatan itu adalah lambang maruah negara dan rakyat negeri Johor khasnya pada saya bukan dikira sebagai objektif. Itu hanya alasan. Objektif dan alasan adalah dua perkara yang berbeda. Pada pendapat saya, objektif adalah kehendak untuk sesuatu perkara. Alasan pula adalah ayat-ayat meleweh yang umum dan subjective. Contohnya begini. Jika saya berkata "Saya makan kerana saya lapar", pada saya ini adalah alasan. Tetapi jika saya berkata "Saya makan kerana saya INGIN mendapatkan zat besi, kabohidrat, protien dan vitamin C", ini pada saya adalah objektif. Alasan adalah cara seseorang untuk melepaskan diri, tetapi objektif adalah cara seseorang untuk mendapatkan sesuatu.

Jadi, apa objektif pembinaan jambatan Encik Mahathir ?. Maaf, saya tidak suka mendengar alasan sepertimana Ustaz Mat Noh tak suka saya beralasan apabila ponteng kelas mengajinya waktu saya kecik-kecik.

Dulu ada yang mengatakan bahawa pembinaan jambatan itu akan meningkatkan aliran air selat Tebrau dan meningkat punca rezeki para nelayan ? Benarkah ? Jika benar, saya akan sampai-sampaikan hal ini kepada Mahathir sebagai jawapan untuk soalan bocor "Apakah objektif pembinaan jambatan bengkok ?". Nampaknya orang melayu ni selalu memerlukan soalan bocor. Ingat bebudak kat U jek.

Jadi kesimpulannya, apa objektif pembinaan jambatan ini ? Apa ulu untuk cerita ini. Kita sibuk gebang-gebang tentang pasir dan ruang udara, tetapi lupa objektif perkara sebenar. Dan disini terletaknya siapa dia yang bijak dan yang pura-pura bijak. Orang yang berpura-pura bijak ini, selalu gebang-gebangkan sesuatu perkara sehingga keperingkat dengan fakta-fakta tahap mereng, tetapi duduk perkara sebenar masih tidak dapat ditangkap dan diselesaikan. Jadi, apa yang orang ini buat untuk tempuh 22 tahun ? Kenapa selama 22 tahun, masih banyak kerja-kerja dia yang tak siap dan sekarang sibuk-sibuk mengganggu urusan orang lain ?

Mari kita fikir-fikirkan wahai kawan-kawan. Apa ulu sebenar pembinaan jambatan ini ?. Untuk menyediakan tender-tender untuk kerabat-kerabat sendiri?. Untuk mencatatkan satu lagi rekod dunia "Jambatan paling bengkok di dunia " ? Untuk membuktikan para pembangkang tanah air mampu berbising-bising tentang isu-isu semasa ? Untuk membuktikan yang jambatan ini mampu menurunkan kadar tol dengan magik sekali ? Untuk membuktikan yang jambatan ini mampu meningkatkan jumlah goreng pisang Hj Ismail Aping Barat yang dibeli dengan harga singgit ? Untuk membuktikan yang tahun depan anak-anak sekolah yang ambil SPM akan mendapat 125 A++.

Jangan dilupa juga tentang ulu pembinaan KLCC, Litar sepang, kompleks sukan Bukit Haji Jalil, bangunan Dayabumi, Menara KL, sukan komenwell dan ezektra..ezektra.

Jika anda berjaya mengesan ulu untuk segala macam kes ini dengan rasional demi kepentingan rakyat marhaen dan pakcik-pakcik Felda Taib Andak, jangan lupa emailkan kepada saya di roimepuniran@gmail.com. 10 pengirim teratas akan mendapat satu belon hidrogen percuma yang di cilok dari konsert JomHeboh Danga Bay.

Dan lah. Saya nak tengok Piala Thomas kat Astro. Oh, apa objektif kita bina astro ya ?. "Untuk tengok bola la kawan-kawan"...Ha ha


No comments: