Ads

Tuesday, April 18, 2006

Pendidikan, anak muda dan negara - Part 2

Pernah sekali saya pergi ke majlis kenduri di rumah jiran semasa saya remaja dahula kala. Kebetulan Pak Imam kampung saya ada dijemput sama. Pak Imam kampung saya ini, agak humor orangnya. Penuh dengan senyuman dan orangnya agak cool. Sesudah kenduri, diadakan makan-makan sedikit. Walaupun namanya 'makan-makan sedikit', tetapi ianya tidaklah sekadar air sirap kosong dan biskut mayat sahaja. 'Sikit-sikit' tu meliputi roti jala, nasi, lauk pauk, ayam kari, sirap ais, kuih muih dan segala macam benih penyakit kencing manis dan darah tinggi. Burrp Alhamdulillah. Kebetulan pula, saya berada disebelah Pak Imam 'feveret' saya. Pak Imam ini tak putus-putus mendorong saya menambah nasi dan lauk pauk. "Makan banyak-banyak. Tengah muda. Pakcik dah tua. Dah tak larat..."Adakah ianya konspirasi supaya saya mendapat kencing manis dan darah tinggi sepertimana majoriti orang kampung saya alami ?. ha ha ha. Tetapi saya tetap bersangka baik dengan Pak Imam kampung saya. Memang begitu agaknya cara orang-orang lama melayan anak-anak muda yang sanggup masuk 'line' mereka. Kagum..kagum...

Kami borak-borak kosong sesudah makan. Adat orang tua, kalo berjumpa orang muda seperti saya, soalan paling koman adalah berkisar tentang persekolahan. "Belajar camana? Ok ?...bla..bla..Cikgu lawa tak ?..bla..bla..." Tapi ada 2 atau 3 rangkap ayat-ayat dalam perbualan kami yang menjentik sedikit sebanyak hormon minda saya.

"Dulu Pakcik belajo lain. Zaman omputih mana nak sama dengan zaman sekarang. Budak sekarang untung. Pakcik belajo dulu hari-hari ngapal ...benih dalam tanah..tanah dalam pasu...Itu jek la ayat di ngulang-ngulang...Omputih mana nak kita pandai"

Saya mendengar sambil tersenyum. Mulut sibuk mengunyah ayam masak kicap.

Cerita tentang Tok Imam kampung saya diatas, membuka minda saya untuk bertanyakan, apa yang kita mahukan dalam pendidikan yang kita anuti hari ini ? Apa tujuan ibu-bapa menghantar anak-anak ke sekolah seawal jam 6 atau 7 pagi. Untuk apa saya menapak dari rumah seawal jam 5 pagi untuk ke tempat menunggu bas setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad semasa zaman-zaman bersekolah dahulu ?. Dalam Falsafah Pendidikan Malaysia, di sebut bahawa

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"

Pendidikan adalah pelaburan berbentuk non-profit paling menguntungkan untuk suatu jangka masa panjang. Semua negara maju dalam tamadun moden hari ini meletakkan pendidikan sebagai perisai paling hadapan dalam menjana pulangan paling lumayan untuk negara meliputi segala bidang samada politik, penyelidikkan, sukan, sains, falsafah, ilmu agama, bahasa, ekonomi, perubatan, pembangunan sumber manusia ......... ezektra, ezektra. Oleh sebab itu, apa sahaja sumber material yang boleh menjana kedainamikkan dunia intelek, akan dilaburkan seluas-luasnya. Garisan luxury yang sentiasa menyelubungi dunia pendidikan akan diminimumkan sebaik mungkin. Perasaaan kedekut dan berkerut dalam melaburkan sejumlah duit dalam institusi pengajian tinggi dan rendah perlu dikikir sehabis mungkin. Wacana ilmu, konvensyen-konvensyen penyelidikan dan konfrens-konfrens di buka seluas mungkin untuk mencairkan ketepuan otak dan menjana hormon minda supaya berfikir. "Eh, wujud ke hormon minda ?. Sapa ajar ngko biologi ?"

Tapi itu di negara maju. Institusi mereka menghasilkan produk penyelidikkan, dipakej dan di pasarkan keseluruh dunia melalui syarikat-syarikat multibillion yang sebahagiannya diasaskan dalam Institusi mereka sendiri, untuk menjana keuntungan dan ianya di lambakkan semula ke Institusi dan digunakan sebagai modal kajian dan penyelidikkan ketahap yang lebih tinggi. Budaya konsumer mereka berputar dalam lingkungan bangsa mereka. Tapi itu negara maju !!..

Bagaimana pula halnya di Malaysia.

Malaysia bukanlah sebuah negara yang pariah walaupun kita pernah dijajah. Kita bukanlah sebuah negara yang boleh dianggap survivor di muka bumi ini. Sebab itu tidak banyak wujudnya Omar Mukhtar, Mahatma Gandhi, Che Geuverra dan Hassan Al-Banna di Malaya. Mekipun begitu, Malaya pernah dianugerahkan dengan Tok Janggut, Mat Kilau, Burhanudden Helmy, Tok Bahaman, Seputun, Kiyai Shamsuddin, Niz Aziz dan ramai lagi yang pernah menjentik sedikit rasa tak selamat para penjajah dan pencacai-pencacai orang putih.

Kita tidak dikelilingi padang pasir yang tandus. Negara ini tidak berselirat dengan gunung berapi atau gempa bumi, walaupun Samy Vellu selalu risau tentang keretakkan. Allah telah meminjamkan modal tanpa cengkeram kepada kerajaan Malaya berbentuk subsidi minyak, kelapa sawit, tanah yang subur, ladang teh, getah, pantai yang cantik, sungai yang deras, hutan yang dara, laut yang kaya dengan ikan-ikan, bijih timah, gadis-gadis melayu yang sopan dan cantik dan ezektra..ezektra. Tetapi apa yang kita lakukan keatas semua sumber ini terhadap konsep mendidik dan menuntut ilmu untuk rakyat jelata ?.

Benar, kita ada beribu-ribu bangunan sekolah yang cantik-cantik. Kita mampu membina padang sekolah yang besar-besar. Tetapi adakah kejayaan dalam pelaburan pendidikan dan keilmuan 100% bergantung pada bangunan sekolah atau padang yang besar ?.

Dunia keilmuan memerlukan seseorang melalui proses pembelajaran yang berterusan dan seiring. Ianya tidak bergantung samada seseorang itu anak jati Kampung Sebasu Muar atau anak penjual roti pita di Tehran. Untuk sesebuah bangsa itu layak digelar sebuah bangsa yang maju, setiap inci warganya perlu di rekrut dalam lingkungan budaya keilmuan yang benar-benar dinamik, telus, disiplin dan teratur. Bagaimana ?

Di Malaysia ini, anak-anak memasuki dunia keilmuan seawal 7 tahun secara relatifnya. Prinsipnya, pendidikan tidak semestinya bermula seawal 7 tahun. Jika kita beranggapan pendidikan adalah seawal 7 tahun, kita telah melakukan satu kesilapan yang amat besar. Pendidikan peringkat sekolah seawal 7 tahun bukanlah pengertian pendidikan yang sebenar. Benar, sekolah adalah tempat bermulanya proses pembelajaran anak-anak cilik, tetapi jika kita mahu melahirkan sebuah generasi yang dinamik dan berilmu, ruang lingkup pendidikan tidak sepatutnya disimbolkan hanya kepada sesebuah tempat atau kawasan atau bilanya bermula waktu belajar. Budaya keilmuan dan pendidikan seharusnya berada dalam lingkungan yang dinamik diluar ruang lingkup sesuatu kawasan atau jajahan.

Objektif pendidikan di Malaysia masih lagi berkabus. Kita mahu melahirkan Albert Einstein atau sekadar menjadi hamba-hamba moden Motorola ? Maksud dunia keilmuan masih lagi berada dalam ruang yang terlampau sempit. Proses pendidikan anak-anak bermula seawal 7 tahun dan seolah-olah 7 tahun adalah takat mati untuk pendidikan anak-anak. Majoritas bangsa Malaysia menganggap sebelum umur 7 tahun, pendidikan untuk anak-anak belum lagi bermula. Seolah-olah, pendidikan adalah bebanan para guru dan pihak sekolah. Seolah-olah pendidikan hanya proses belajar mengira, mengukur, membaca, melukis, mengeja dan mewarna. Proses pendidikan anak-anak ini seharusnya melalui anjuran pendidikan yang terlebih dahulu diberikan kepada sang ibu dan bapa. Pendidikan yang baik adalah pendidikan yang berterusan. Ianya adalah proses berantai berkenaan persoalan hidup, mencari rezeki, beribadat, bersukan dan bersosial. Ibu bapa terdidik sejak semasa kecil. Bila mereka meningkat dewasa, persekitaran mendidik mereka menjadi seorang yang berdikari. Bila berkahwin, perkongsian hidup dan cara menyelesaikan masalah adalah salah satu proses pendidikan yang perlu di lalui. Dan bila anak masih lagi didalam kandungan, cara pemakanan, sikap, gaya hidup, mencari tempat berlindung dan merancang masa depan adalah pendidikan yang sekali lagi mereka terpaksa tempuhi.

Kesimpulannya, pendidikan adalah proses yang berterusan selagi manusia itu hidup. Konsep pendidikan seperti ini yang sepatutnya di mengertikan oleh setiap rakyat supaya objektive sebenar hidup adalah lebih jelas. Untuk siapa kita hidup ?.

Dalam menggerakkan proses pendidkan anak-anak, ibu bapa terlebih dahulu perlu dididik. Dalam konteks pendidikan untuk golongan ibu-bapa, politik memainkan peranan paling tunjang dan utama. Realitinya, kita bukan tergolong didalam masyarakat Pendekar Bujang Lapok. Ibu bapa hari ini rata-rata tahu mengaji, membaca dan mengira. Persoalan samada buta huruf atau tidak adalah persoalan berkenaan aspek-aspek yang boleh diukur. Persoalan berkenaan membaca, mengira dan menulis adalah persoalan yang terlalu objektive. Dunia politik di Malaysia telah menyebabkan proses pendidikan sang ibu bapa menjadi tepu. Ketepuan ini menghasilkan budaya bebal yang melampau. Salah satu cabang pendidikan untuk ibu bapa adalah kesedaran berpolitik. Sebelum anak-anak dididik, ibu bapa perlulah dididik berkenaan dengan kesedaran politik untuk kebaikkan seluruh negara. Ibu bapa perlu dididik berkenaan bagaimana memilih pemimpin yang benar-benar tawaduk dalam membangunkan bangsa. Siling politik hendaklah diruntuhkan seratus peratus dan kebebasan memberi pandangan dan kritikan memerlukan ruang yang sebesar-besarnya.

Membuka siling politik dan membenarkan kebebasan mengeluarkan pendapat, menegur dan mengkritik, akan melahirkan sikap tanggungjawab ibu-bapa terhadap negara. Contohnya begini, untuk mengkritik, seseorang perlu menyelak setiap inci isu yang muncul didepan mereka. Meneliti setiap isu-isu ini akan melahirkan buah fikiran dan budaya berfikir. Kritikan hadir bila seseorang merasakan setiap isu yang timbul memerlukan sedikit luahan hati dan pendapat yang dirasakan rasional. Orang gila sahaja yang mengkritik 'timun' dihadapan 'terung'. Mahu tidak mahu, dengan mengkritik sedikit sebanyak ianya menggerakkan rasa tanggungjawab terhadap sesuatu isu. Mengambil berat terhadap sesuatu isu, akan membukakan hati manusia-manusia untuk menjadi warga yang mengambil berat terhadap masyarakat. Masyarakat yang ambil peduli antara satu sama lain, dapat menggerakkan rasa tanggungjawab terhadap apa sahaja yang berlaku dalam negara.

Nampak tidak, kesedaran politik adalah salah satu cabang proses pembelajaran rakyat. Dengan ada rasa tanggungjawap, budaya keilmuan sang ibu atau bapa ini pasti dapat membuka dunia keilmuan yang lebih luas untuk anak-anak. Walaupun bukan semua, anak-anak pasti terdidik dari lingkungan budaya keilmuan yang dicorak oleh ibu dan bapa. Dan rasa tanggungjawab ini berakar ke setiap inci perilaku seluruh warga. Kenapa masih ada sampah sarap merata-rata di sekitar Kuala Lumpur ?. Kerana si pembuang sampah ini tidak pernah dididik oleh ibu bapa yang terdidik. Dan ibu bapa yang tidak terdidik ini, tidak dididik oleh budaya politik dan sistem pendidikan yang betul. Masyarakat menjadi 'aku-aku', 'engkau-engkau'. Pedulik apa aku berak dihalaman rumah aku, sebab ini halaman rumah aku !.

Jika tidak ditangani, kebebalan ini akan di warisi turun temurun.

Terdidiknya ibu bapa akan membuka ruang keilmuan yang besar untuk anak-anak. Masyarakat majorinya masih berada pada kedudukan yang songsang apabila mentafsir tentang budaya keilmuan dan institusi pendidikan. Pandai bermain piano, bijak mengira, pandai bermain bola, mendapat keputusan SPM 126 A++, bijak berpidato dan berbalas pantun bukan takrifan sebenar pendidikan dan keilmuan.

Pada pendapat saya, takrifan paling bangsat atau koman tentang pendidikan adalah bilamana seseorang itu tahu menilai mana baik dan mana buruk. Jika si Minah mendapat 18 A++, terbukti dia pernah mendapat ilmu. Tetapi jika si Minah pergi merompak jirannya walaupun mendapat 18 A++, ini bermakna si Minah bukan seorang yang berilmu. Kesimpulannya si Minah bukan seorang yang berilmu walaupun telah mendapat ilmu. Jika Dato' Don berjaya memperolehi Phdnya dari Universiti Of Technology Sedili Kechil, ini terbukti dia pernah mendapat ilmu dari sana. Tetapi jika Dato' Don sungguh pelahap memakan rasuah, ini bermakna Dato' Don bukanlah seorang yang berilmu. Dia tidak dapat dibuktikan berilmu, walaupun berjaya mendapatkan ilmu.

Dan adakah anak-anak kita dilonggokkan di sekolah-sekolah untuk mendapat ilmu atau melalui proses menjadi seorang yang berilmu ?. Bagaimana proses keilmuan untuk anak-anak dapat menjana bangsa yang maju dari segi material dan fedumental ?.

Bersambung dalam siri 3. Saya mahu balik. Malam ni ada bola....Barca lawan AC Milan !


No comments: