Ads

Tuesday, April 18, 2006

Pendidikan, anak muda dan negara - Part 2

Pernah sekali saya pergi ke majlis kenduri di rumah jiran semasa saya remaja dahula kala. Kebetulan Pak Imam kampung saya ada dijemput sama. Pak Imam kampung saya ini, agak humor orangnya. Penuh dengan senyuman dan orangnya agak cool. Sesudah kenduri, diadakan makan-makan sedikit. Walaupun namanya 'makan-makan sedikit', tetapi ianya tidaklah sekadar air sirap kosong dan biskut mayat sahaja. 'Sikit-sikit' tu meliputi roti jala, nasi, lauk pauk, ayam kari, sirap ais, kuih muih dan segala macam benih penyakit kencing manis dan darah tinggi. Burrp Alhamdulillah. Kebetulan pula, saya berada disebelah Pak Imam 'feveret' saya. Pak Imam ini tak putus-putus mendorong saya menambah nasi dan lauk pauk. "Makan banyak-banyak. Tengah muda. Pakcik dah tua. Dah tak larat..."Adakah ianya konspirasi supaya saya mendapat kencing manis dan darah tinggi sepertimana majoriti orang kampung saya alami ?. ha ha ha. Tetapi saya tetap bersangka baik dengan Pak Imam kampung saya. Memang begitu agaknya cara orang-orang lama melayan anak-anak muda yang sanggup masuk 'line' mereka. Kagum..kagum...

Kami borak-borak kosong sesudah makan. Adat orang tua, kalo berjumpa orang muda seperti saya, soalan paling koman adalah berkisar tentang persekolahan. "Belajar camana? Ok ?...bla..bla..Cikgu lawa tak ?..bla..bla..." Tapi ada 2 atau 3 rangkap ayat-ayat dalam perbualan kami yang menjentik sedikit sebanyak hormon minda saya.

"Dulu Pakcik belajo lain. Zaman omputih mana nak sama dengan zaman sekarang. Budak sekarang untung. Pakcik belajo dulu hari-hari ngapal ...benih dalam tanah..tanah dalam pasu...Itu jek la ayat di ngulang-ngulang...Omputih mana nak kita pandai"

Saya mendengar sambil tersenyum. Mulut sibuk mengunyah ayam masak kicap.

Cerita tentang Tok Imam kampung saya diatas, membuka minda saya untuk bertanyakan, apa yang kita mahukan dalam pendidikan yang kita anuti hari ini ? Apa tujuan ibu-bapa menghantar anak-anak ke sekolah seawal jam 6 atau 7 pagi. Untuk apa saya menapak dari rumah seawal jam 5 pagi untuk ke tempat menunggu bas setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad semasa zaman-zaman bersekolah dahulu ?. Dalam Falsafah Pendidikan Malaysia, di sebut bahawa

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"

Pendidikan adalah pelaburan berbentuk non-profit paling menguntungkan untuk suatu jangka masa panjang. Semua negara maju dalam tamadun moden hari ini meletakkan pendidikan sebagai perisai paling hadapan dalam menjana pulangan paling lumayan untuk negara meliputi segala bidang samada politik, penyelidikkan, sukan, sains, falsafah, ilmu agama, bahasa, ekonomi, perubatan, pembangunan sumber manusia ......... ezektra, ezektra. Oleh sebab itu, apa sahaja sumber material yang boleh menjana kedainamikkan dunia intelek, akan dilaburkan seluas-luasnya. Garisan luxury yang sentiasa menyelubungi dunia pendidikan akan diminimumkan sebaik mungkin. Perasaaan kedekut dan berkerut dalam melaburkan sejumlah duit dalam institusi pengajian tinggi dan rendah perlu dikikir sehabis mungkin. Wacana ilmu, konvensyen-konvensyen penyelidikan dan konfrens-konfrens di buka seluas mungkin untuk mencairkan ketepuan otak dan menjana hormon minda supaya berfikir. "Eh, wujud ke hormon minda ?. Sapa ajar ngko biologi ?"

Tapi itu di negara maju. Institusi mereka menghasilkan produk penyelidikkan, dipakej dan di pasarkan keseluruh dunia melalui syarikat-syarikat multibillion yang sebahagiannya diasaskan dalam Institusi mereka sendiri, untuk menjana keuntungan dan ianya di lambakkan semula ke Institusi dan digunakan sebagai modal kajian dan penyelidikkan ketahap yang lebih tinggi. Budaya konsumer mereka berputar dalam lingkungan bangsa mereka. Tapi itu negara maju !!..

Bagaimana pula halnya di Malaysia.

Malaysia bukanlah sebuah negara yang pariah walaupun kita pernah dijajah. Kita bukanlah sebuah negara yang boleh dianggap survivor di muka bumi ini. Sebab itu tidak banyak wujudnya Omar Mukhtar, Mahatma Gandhi, Che Geuverra dan Hassan Al-Banna di Malaya. Mekipun begitu, Malaya pernah dianugerahkan dengan Tok Janggut, Mat Kilau, Burhanudden Helmy, Tok Bahaman, Seputun, Kiyai Shamsuddin, Niz Aziz dan ramai lagi yang pernah menjentik sedikit rasa tak selamat para penjajah dan pencacai-pencacai orang putih.

Kita tidak dikelilingi padang pasir yang tandus. Negara ini tidak berselirat dengan gunung berapi atau gempa bumi, walaupun Samy Vellu selalu risau tentang keretakkan. Allah telah meminjamkan modal tanpa cengkeram kepada kerajaan Malaya berbentuk subsidi minyak, kelapa sawit, tanah yang subur, ladang teh, getah, pantai yang cantik, sungai yang deras, hutan yang dara, laut yang kaya dengan ikan-ikan, bijih timah, gadis-gadis melayu yang sopan dan cantik dan ezektra..ezektra. Tetapi apa yang kita lakukan keatas semua sumber ini terhadap konsep mendidik dan menuntut ilmu untuk rakyat jelata ?.

Benar, kita ada beribu-ribu bangunan sekolah yang cantik-cantik. Kita mampu membina padang sekolah yang besar-besar. Tetapi adakah kejayaan dalam pelaburan pendidikan dan keilmuan 100% bergantung pada bangunan sekolah atau padang yang besar ?.

Dunia keilmuan memerlukan seseorang melalui proses pembelajaran yang berterusan dan seiring. Ianya tidak bergantung samada seseorang itu anak jati Kampung Sebasu Muar atau anak penjual roti pita di Tehran. Untuk sesebuah bangsa itu layak digelar sebuah bangsa yang maju, setiap inci warganya perlu di rekrut dalam lingkungan budaya keilmuan yang benar-benar dinamik, telus, disiplin dan teratur. Bagaimana ?

Di Malaysia ini, anak-anak memasuki dunia keilmuan seawal 7 tahun secara relatifnya. Prinsipnya, pendidikan tidak semestinya bermula seawal 7 tahun. Jika kita beranggapan pendidikan adalah seawal 7 tahun, kita telah melakukan satu kesilapan yang amat besar. Pendidikan peringkat sekolah seawal 7 tahun bukanlah pengertian pendidikan yang sebenar. Benar, sekolah adalah tempat bermulanya proses pembelajaran anak-anak cilik, tetapi jika kita mahu melahirkan sebuah generasi yang dinamik dan berilmu, ruang lingkup pendidikan tidak sepatutnya disimbolkan hanya kepada sesebuah tempat atau kawasan atau bilanya bermula waktu belajar. Budaya keilmuan dan pendidikan seharusnya berada dalam lingkungan yang dinamik diluar ruang lingkup sesuatu kawasan atau jajahan.

Objektif pendidikan di Malaysia masih lagi berkabus. Kita mahu melahirkan Albert Einstein atau sekadar menjadi hamba-hamba moden Motorola ? Maksud dunia keilmuan masih lagi berada dalam ruang yang terlampau sempit. Proses pendidikan anak-anak bermula seawal 7 tahun dan seolah-olah 7 tahun adalah takat mati untuk pendidikan anak-anak. Majoritas bangsa Malaysia menganggap sebelum umur 7 tahun, pendidikan untuk anak-anak belum lagi bermula. Seolah-olah, pendidikan adalah bebanan para guru dan pihak sekolah. Seolah-olah pendidikan hanya proses belajar mengira, mengukur, membaca, melukis, mengeja dan mewarna. Proses pendidikan anak-anak ini seharusnya melalui anjuran pendidikan yang terlebih dahulu diberikan kepada sang ibu dan bapa. Pendidikan yang baik adalah pendidikan yang berterusan. Ianya adalah proses berantai berkenaan persoalan hidup, mencari rezeki, beribadat, bersukan dan bersosial. Ibu bapa terdidik sejak semasa kecil. Bila mereka meningkat dewasa, persekitaran mendidik mereka menjadi seorang yang berdikari. Bila berkahwin, perkongsian hidup dan cara menyelesaikan masalah adalah salah satu proses pendidikan yang perlu di lalui. Dan bila anak masih lagi didalam kandungan, cara pemakanan, sikap, gaya hidup, mencari tempat berlindung dan merancang masa depan adalah pendidikan yang sekali lagi mereka terpaksa tempuhi.

Kesimpulannya, pendidikan adalah proses yang berterusan selagi manusia itu hidup. Konsep pendidikan seperti ini yang sepatutnya di mengertikan oleh setiap rakyat supaya objektive sebenar hidup adalah lebih jelas. Untuk siapa kita hidup ?.

Dalam menggerakkan proses pendidkan anak-anak, ibu bapa terlebih dahulu perlu dididik. Dalam konteks pendidikan untuk golongan ibu-bapa, politik memainkan peranan paling tunjang dan utama. Realitinya, kita bukan tergolong didalam masyarakat Pendekar Bujang Lapok. Ibu bapa hari ini rata-rata tahu mengaji, membaca dan mengira. Persoalan samada buta huruf atau tidak adalah persoalan berkenaan aspek-aspek yang boleh diukur. Persoalan berkenaan membaca, mengira dan menulis adalah persoalan yang terlalu objektive. Dunia politik di Malaysia telah menyebabkan proses pendidikan sang ibu bapa menjadi tepu. Ketepuan ini menghasilkan budaya bebal yang melampau. Salah satu cabang pendidikan untuk ibu bapa adalah kesedaran berpolitik. Sebelum anak-anak dididik, ibu bapa perlulah dididik berkenaan dengan kesedaran politik untuk kebaikkan seluruh negara. Ibu bapa perlu dididik berkenaan bagaimana memilih pemimpin yang benar-benar tawaduk dalam membangunkan bangsa. Siling politik hendaklah diruntuhkan seratus peratus dan kebebasan memberi pandangan dan kritikan memerlukan ruang yang sebesar-besarnya.

Membuka siling politik dan membenarkan kebebasan mengeluarkan pendapat, menegur dan mengkritik, akan melahirkan sikap tanggungjawab ibu-bapa terhadap negara. Contohnya begini, untuk mengkritik, seseorang perlu menyelak setiap inci isu yang muncul didepan mereka. Meneliti setiap isu-isu ini akan melahirkan buah fikiran dan budaya berfikir. Kritikan hadir bila seseorang merasakan setiap isu yang timbul memerlukan sedikit luahan hati dan pendapat yang dirasakan rasional. Orang gila sahaja yang mengkritik 'timun' dihadapan 'terung'. Mahu tidak mahu, dengan mengkritik sedikit sebanyak ianya menggerakkan rasa tanggungjawab terhadap sesuatu isu. Mengambil berat terhadap sesuatu isu, akan membukakan hati manusia-manusia untuk menjadi warga yang mengambil berat terhadap masyarakat. Masyarakat yang ambil peduli antara satu sama lain, dapat menggerakkan rasa tanggungjawab terhadap apa sahaja yang berlaku dalam negara.

Nampak tidak, kesedaran politik adalah salah satu cabang proses pembelajaran rakyat. Dengan ada rasa tanggungjawap, budaya keilmuan sang ibu atau bapa ini pasti dapat membuka dunia keilmuan yang lebih luas untuk anak-anak. Walaupun bukan semua, anak-anak pasti terdidik dari lingkungan budaya keilmuan yang dicorak oleh ibu dan bapa. Dan rasa tanggungjawab ini berakar ke setiap inci perilaku seluruh warga. Kenapa masih ada sampah sarap merata-rata di sekitar Kuala Lumpur ?. Kerana si pembuang sampah ini tidak pernah dididik oleh ibu bapa yang terdidik. Dan ibu bapa yang tidak terdidik ini, tidak dididik oleh budaya politik dan sistem pendidikan yang betul. Masyarakat menjadi 'aku-aku', 'engkau-engkau'. Pedulik apa aku berak dihalaman rumah aku, sebab ini halaman rumah aku !.

Jika tidak ditangani, kebebalan ini akan di warisi turun temurun.

Terdidiknya ibu bapa akan membuka ruang keilmuan yang besar untuk anak-anak. Masyarakat majorinya masih berada pada kedudukan yang songsang apabila mentafsir tentang budaya keilmuan dan institusi pendidikan. Pandai bermain piano, bijak mengira, pandai bermain bola, mendapat keputusan SPM 126 A++, bijak berpidato dan berbalas pantun bukan takrifan sebenar pendidikan dan keilmuan.

Pada pendapat saya, takrifan paling bangsat atau koman tentang pendidikan adalah bilamana seseorang itu tahu menilai mana baik dan mana buruk. Jika si Minah mendapat 18 A++, terbukti dia pernah mendapat ilmu. Tetapi jika si Minah pergi merompak jirannya walaupun mendapat 18 A++, ini bermakna si Minah bukan seorang yang berilmu. Kesimpulannya si Minah bukan seorang yang berilmu walaupun telah mendapat ilmu. Jika Dato' Don berjaya memperolehi Phdnya dari Universiti Of Technology Sedili Kechil, ini terbukti dia pernah mendapat ilmu dari sana. Tetapi jika Dato' Don sungguh pelahap memakan rasuah, ini bermakna Dato' Don bukanlah seorang yang berilmu. Dia tidak dapat dibuktikan berilmu, walaupun berjaya mendapatkan ilmu.

Dan adakah anak-anak kita dilonggokkan di sekolah-sekolah untuk mendapat ilmu atau melalui proses menjadi seorang yang berilmu ?. Bagaimana proses keilmuan untuk anak-anak dapat menjana bangsa yang maju dari segi material dan fedumental ?.

Bersambung dalam siri 3. Saya mahu balik. Malam ni ada bola....Barca lawan AC Milan !


Thursday, April 06, 2006

Pendidikan, anak muda dan negara - Part 1

Saya baru berusia 25 tahun. Tapi hari ini saya nak menulis tulisan yang kebiasannya di tulis oleh orang-orang yang dua puluh lima tahun lebih tua dari saya. Atau oleh pensyarah-pensyarah university samada kangkung atau tidak. Atau cedekiawan-cendekiawan dari NGO, parti kerajaan, parti pembangkang atau agen-agen perisikan. Atau oleh anak-anak muda yang mengambil berat tentang susur galur sistem pendidikan Malaysia.

Saya hendak menulis tentang pendidikan...............("Huiyooooooooo!. Nampak rock tapi cedekiawan tu").

Ade orang kata, bukan saya kata tapi ada orang kata, pembaris yang kita guna untuk mengukur kemajuan sesuatu negara adalah berdasarkan GDP. Ada orang lain pula kata, untuk mengetahui betapa maju negara tersebut, sila lihat kepada kadar kemasukkan FDI asing dalam negara.

Tetapi, bagi saya, untuk menentukan sesuatu negara itu maju, kenalah ukur betapa majunya sesuatu bangsa yang menghuni negera itu. Untuk menyukat betapa maju sesuatu bangsa pula, lihat pula pendidikan yang di terima oleh bangsa berkenaan.

Sejak saya lahir ke dunia ini, sehingga lah sekarang, saya tidak nampak lagi sebuah negara yang membuat pelaburan banyak di dalam institusi pendidikan akan jatuh muflis atau menjadi mundur gila babi. Kebanyakkan negara maju di muka bumi ini akan melaburkan sejumlah ongkos yang banyak didalam pendidikan. Kenapa ?. Kerana sejak kita kecil lagi, pendidikan adalah satu bentuk pelaburan jangkamasa panjang yang paling menguntungkan.

Mengukur jumlah FDI atau GDP belum tentu boleh memastikan sesebuah bangsa itu maju. Secara logiknya begini, kita memerlukan FDI asing untuk menghasilkan kapasiti guna-insan yang tinggi. Jika sebuah syarikat teknologi tinggi asing melaburkan duit di Malaysia, sudah tentu peluang pekerjaan akan di buka seluas-luasnya. Dengan demikian, jumlah pengangguran sedikit sebanyak di kurangkan. Dan selain rakyat mendapat manfaat dari segi gaji atau bonus, kerajaan juga mendapat manfaat dari segi cukai dan nilai eksport. Tetapi, kita perasan atau tidak, syarikat teknologi tinggi ini sudah tentu di bina berpuluh-puluh tahun dahulu di negara orang putih. Dan sudah pasti ianya di bina dengan kapasiti tenaga mahir yang cukup terlatih. Dan ianya juga melibatkan proses penyelidikan dan pembangunan yang lama.

Jika kita halusi semua proses ini, mahu atau tidak mahu, semua proses ini adalah dari rangkuman medium yang sama iaitu pendidikan. Jurutera syarikat teknologi tinggi tentu sahaja belajar tentang ilmu-ilmu teknologi dari universiti. Pengaturcara syarikat ini dahulunya tentu belajar programming dari guru-guru mereka di sekolah atau dari buku-buku yang ditulis oleh pakar-pakar programming di negara mereka sendiri. CEO mereka tentu dahulunya menuntut ilmu pengurusan dari universiti terkemuka di negara mereka.

Mahu tidak mahu, evolusi pendidikan ini wajar kita terima sebagai salah satu segmen yang menjana kemajuan negara. Dengan pendidikan maka lahirlah tenaga pakar dan pencipta-pencipta. Pencipta-pencipta ini seterusnya membangunkan produk yang segar-segar di pasaran. Dan ahli-ahli ekonimi yang terdidik dari sistem pendidikan yang sama, mengambil produk ini untuk di niagakan. Dari perniagaan itu maka terhasillah GDP untuk rakyat mereka sendiri, dah jika mereka melabur di Malaysia, maka meningkatlah GDP rakyat Malaysia. Cukai yang dikenakan oleh kerajaan terhadap FDI memberikan pulangan lumayan kepada sesebuah negara. Itu pun jika tidak disonglap !.

Tetapi adakah sistem pendidikan di Malaysia boleh dijadikan asas memajukan guna-tenaga-insan seterusnya memajukan negara ?. Pada saya, rata-rata pemimpin kita masih lagi buta tentang apa kaitan pendidikan dan kemajuan negara.

Di Malaysia, kita masih menguar-uarkan pendidikan sebagai sesuatu yang terlalu eksklusif. Budak-budak lepas SPM perlu mendapatkan 100 A++ untuk di terima masuk di mana-mana Universiti awam. Oleh yang demikian, budak-budak di sekolah dilatih secukupnya agar dapat menjawap soalan peperiksaan dengan tepat sekali. Berduyun-duyun buku-buku soalan ramalan dijual samada dipasaran terang atau gelap. Anak-anak muda Malaysia dilatih otaknya supaya menjadi seorang yang pintar menjawap soalan peperiksaan. Kita tidak akan berpeluang untuk melihat projek sains yang bagus-bagus yang boleh di cipta oleh murid-murid melainkan jika ada pertandingan projek sains peringkat zon. Kita juga tidak akan berpeluang melihat budak-budak sekolah membuat kajian dan penilaian tentang bidang pekerjaan yang mereka minat. Kita juga tidak akan melihat budak-budak sekolah yang cukup mahir menggunakan biola, mahir melukis atau mahir bermain muzik melainkan bapa-bapa mereka cukup kaya-raya untuk mengupah tutor mengajar anak-anak mereka bermain muzik, biola, bola, gitar, piano, melukis atau apa sahaja.

Jika sesebuah kerajaan itu prihatin terhadap negara, sepatutnya semua jurusan pelajaran adalah dalam tanggungan kerajaan. Ini bermakna, kerajaan tidak kedekut melaburkan sejumlah wang yang banyak untuk membina fasiliti pendidikan yang diidamkan oleh budak-budak. Contohnya jika seorang budak itu berminat dengan seni lukis, sepatutnya ada peruntukan untuk membina persekitaran pendidikan seni lukis yang cukup bagus supaya akhirnya budak itu cukup ilmu dan terlatih bila dewasa kelak. Guru-guru seni perlu lah digaji untuk melatih anak-anak murid ini. Bengkel-bengkel seni mestilah dibekalkan dengan cukup peralatan seni. Tidak cukup guru dari dalam negara, kita import guru dari negara-negara dunia ke 3. Aiseh, bangunan Dayabumi leh dibina, takkan nak gajikan guru-guru luar tak boleh kot ?.

Begitu juga jika seseorang murid meminati bidang muzik. Peruntukan untuk membina persekitaran yang boleh membangun kemahiran muzik hendaklah diberikan sebaik mungkin tanpa mengira sekolah mana atau kawasan mana. "Kalo begitu banyak la duit nak kena labur ?."..Ha ha ha..Sudah tentu banyak pelaburan. Cuba bayangkan, duit minyak Petroleum kita yang digunakan untuk membina KLCC dan Bukti Jalil, jika dilaburkan ke dalam perkara-perkara yang saya nyatakan diatas, mana lebih untung untuk jangkamasa yang panjang ?. Ingat, KLCC dan Bukit Jalil itu kosnya melebihi apa yang boleh kita impikan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Kesimpulannya, kebanyakkan rakyat Malaysia muda atau tua benak otaknya dan tidak mampu berfikiran kritis walaupun mampu mendapat 245 A++ disekolah dan menghantar sms AF3 dengan pantas sekali. Jangan marah jika saya letakkan perkataan benak disitu kerana ini realiti yang kita sedang hadapi. Jika tidak benak, anak-anak muda atau tua Malaysia tidak akan menghuni pusat serenti sehingga sejuta orang, tidak akan menginap di penjara sehingga penuh-penuh dan tidak akan mati katak kerana berlumba haram...Satu lagi, tidak akan melafaskan talak dengan menggunakan sms !.

Benar, pendidikan adalah tunjang ketamadunan sesebuah bangsa. Tetapi kita sedang berhadapan dengan kerakusan elit politik yang menggunakan pendidikan sebagai alat dalam perhambaan era moden. Kita menerima berpuluh-puluh ribu budak-budak SPM yang geliga-geliga. Dan semua mereka layak masuk ke Universiti. Jika kita perhalusi perkara ini, kita wajib melakukan sujud syukur kerana kita mampu melahirkan generasi yang bijak-bijak setiap tahun. Tetapi apa yang kita buat terhadap mereka di Universiti ?. Budak-budak ini di timbunkan dengan perkara-perkara yang tepu dan langsung tidak mampu meningkatkan daya atau budaya berfikir. Mereka di paksa mengambil jurusan sains dan kejuruteraan. Ha ha ha. Jika anda tidak buta mata hati, anda akan nampak bahawa inilah salah satu cara untuk merekrut hamba-hamba dengan menggunakan pendidikan.

Apa yang ada hendak hujahkan dengan beribu-ribu graduate-graduate kejuruteraan setiap tahun ?. Alasan bahawa negara memerlukan tenaga mahir untuk menampung sektor-sektor pekerjaan teknoloi tinggi adalah alasan yang dangkal sahaja. Intel dan Motorola tak akan risau tentang dari mana pelajar kejuruteraan kita datang. Mereka tidak akan ambil peduli tentang mahir atau tidaknnya jurutera-jurutera yang dilahirkan dari IPTA. Jika mereka perlukan jurutera yang super genius, mereka akan import jurutera berkos murah dari India atau China. Kita kena sedari bahawa kita hanya assambler. Mereka membawa komponen dari negara mereka dan kita assamble di sini dengan kos gaji yang murah dan intensif kerajaan yang bagus. Itu sahaja. Jadi untuk apa kita takut-takut kan pelajar kita kununnya bakal kebuluran kerana tidak mempunyai pekerjaan jika mereka mengambil jurusan bahasa Arab, sastera Melayu, Usuluddin atau pengurusan perniagaan.

Ya, saya tidak menafikan bahawa pelajar yang cemerlang dan cekap adalah amat penting untuk menjana kemasukkan FDI luar bila mereka bekerja nanti. Tetapi jangan risau, Motorola juga ada membina pusat RND mereka. Dan kita akan dilatih membuat skrin henpon dengan cekap selepas ini..Ha ha ha

Pertamanya, pada pendapat saya kita sudah terlalu jauh terpesong untuk mengerti apa sebenarnya objektif kita terhadap bidang pendidikan. Universiti bukanlah kilang melahirkan hamba-hamba moden. Universiti adalah ladang untuk benih-benih yang cemerlang. Seorang penagih tak akan masuk ke Universiti kerana dia tidak cemerlang melainkan dia masuk ke universiti sebagai seorang yang cemerlang dan akhirnya menghisap dadah sepanjang pengajiannya. Universiti memerlukan suasana yang dinamik untuk mencairkan ketepuan minda pelajar-pelajar. Geran-geran penyelidikkan hendak di laburkan dengan sebanyak mungkin di universiti kerana hanya dengan penyelidikkan maka bercambah lah budaya keilmuan.

Contohnya jika seorang professor mendapat geran membuat penyelidikkan terhadap sebiji kentang. Sudah pasti dia akan mengambil 3 atau 4 orang pelajar sarjana untuk membantunya membuat diagnosis, hipotesis dan eksperimen terhadap kentang tersebut. Di sini, ilmu kentang telah pun di cambahkan kepada 3 atau 4 orang pelajarnya. Pelajar sarjana tersebut sudah pasti akan mengambil 2 atau 3 orang pelajar undergraduate untuk membantunya melakukan ujikaji kimia terhadap kentang untuk menganalisis segala unsur-unsur organik atau ikatan-ikatan kimia-biologi kentang. Dan sudah pasti ilmu itu sungguh bermanfaat untuk pelajar-pelajar dibawahnya. Andaikata professor itu menulis kajiannya dan membentangkannya di seminar-seminar antarabangsa, berapa ramai orang telah mendapat ilmu. Dan jika pelajar-pelajar sarjana itu mengambil jalan yang sama, menulis jurnal kentang dan membentangkannya, anda nilai sendiri manfaat yang bole diterima oleh pelajar-pelajar dan IPTA berkenaan ?. Itu baru kentang...

Kita mempunyai geran seperti cradle oleh MDC untuk membangunkan teknologi tinggi anak-anak muda tempatan. Sepatutnya geran seperti ini hendaklah di laburkan seluas-luasnya di universiti. KLCC bole dibina, takkan geran pendidikan tidak boleh bagi kot. Setiap pelajar universiti samada sains atau bukan sains perlu menyiapkan projek untuk jurusan-jurusan mereka. Jika kita amati, dengan projek-projek inilah sebenarnya, boleh menyelamatkan anak-anak muda dari menganggur sambil berhutang PTPTN. Contohnya, jika seorang pelajar HRD (Human Resource & Development) membuat projek kajiannya berkenaan segmen ekonomi masyarakat di Bario dan perbandingannya dengan masyarakat luar bandar di tempat lain. Pelajar ini sudah semestinya di wajibkan melakarkan struktur-struktur penyelidikkan, objektif kajian dan kaedah-kaedah yang diguna pakai. Dan yang pasti ia di guide oleh penyarah-pensyarah yang serba tahu. Apabila habis sahaja kajiannya, sudah tentu ianya amat berguna oleh jabatan banci mendapatkan maklumat berkenaan orang-orang yang nun jauh terbenam di kampung-kampung, atau setidak-tidaknya kaedah yang digunakan boleh dijadikan bahan rujuk. Dah jika dia di negara bukan Malaysia, sudah tentu pihak universiti melalui geran penyelidikkan dan pendidikan bole mengambil pelajar berkenaan untuk meluaskan lagi skop kajiannya di peringkat sarjana secara tidak langsung membantu jabatan banci dan kementerian-kementrian yang lain yang berkenaan membuat kerja.

Universiti bukan sahaja ladang menyemai benih-benih cemerlang. Ianya juga bole dianggap sebagai gelanggang latihan para pelajar untuk belajar selok belok seorang survivor. Bukan sekadar menjadi agen MLM dan mewar-warkan "Tak perlu belajar, dalam 2 bulan anda boleh dapat RM 20 000", tetapi pelajar seharusnya diajar atau didedahkan bagaimana memajukan negara dari perspektif seorang yang berilmu dan menggunakan ilmunya.

Tetapi apa kan daya. Duit banyak-banyak habis di KLCC, Dayabumi, Komanwell 98, Litar Sepang, Jambatan Bengkok dan Perkampungan Sukan Bukit Encik Jalil.

Semoga berjaya Malaysia.