KOTA BAHARU, 16 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan keputusan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) menjemput juara Akademi Fantasia (AF3), Asmawi Ani atau Mawi ke Kelantan.
Katanya beliau mengharapkan lebih ramai penyanyi akan membuat persembahan dan penampilan dalam bentuk yang lebih Islamik pada masa akan datang berikutan undangan artis seperti Mawi ini.
"Inilah usaha yang kawe (saya) buat, demo (kerajaan pusat) buat apa untuk Mawi," katanya ketika berucap pada kuliah agama mingguan beliau di sini, hari Jumaat.
Beliau berkata desas-desus pihak tertentu yang mempertikaikan keputusan itu sebagai cuba mengekploitasi usaha murni yang dibuat MPKB.
"Contoh yang dibawa Mawi seperti penampilan perlu dituruti penyanyi lain agar ia sesuai dengan kehendak semua lapisan peminat sekarang", katanya.
Mawi menjadi perdebatan hangat ekoran cadangan kerajaan negeri mengundangnya untuk Konsert Tautan Kasih di sini pada 30 Sept ini dan Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) Bandar Raya Islam pada 1 Okt ini.
Bagaimanapun, keputusan itu ditolak Dewan Ulama Pas yang berpendapat bahawa dengan mengundang Mawi sama seperti Pas menerima Akademi Fantasi yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Annuar Musa yang ditemui pada satu majlis di sini malam tadi, berkata cadangan Pas untuk mengundang Mawi pada majlis itu sebagai gimik politik dalam usaha untuk mendapat sokongan pengundi.
Beliau berkata keputusan itu menampakkan bahawa Pas Kelantan telah menghalalkan cara walaupun pada prinsipnya parti itu menolak hiburan yang melalaikan.
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=155681
-- BERNAMA
SERDANG: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi kelihatan sayu ketika meluahkan pandangannya mengenai sikap negatif masyarakat terhadap penagih dadah dan keluarga mereka di majlis kempen antidadah anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.
Kejujuran Mawi menceritakan pengalaman dilaluinya pertama kali di khalayak ramai diikuti dengan penuh minat oleh kira-kira 2,000 penuntut dan kakitangan universiti itu.
Majlis anjuran pelajar kursus Strategi Perhubungan Awam Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dengan kerjasama Karyawan dan Maestro Talent & Management.
“Kepada remaja di luar sana, saya menyeru agar jauhi najis dadah kerana ia akan memusnahkan hidup dan keluarga anda.
“Bayangkan sekali kita pilih jalan salah, ibu bapa akan menanggung kekecewaan sepanjang hayat. Najis dadah sebenarnya merosakkan harapan dan memusnahkan impian bukan saja penagih itu sendiri tetapi juga ibu bapa mereka.
“Saya sendiri pernah melihat bagaimana ibu bapa dinista akibat anaknya bergelar penagih dadah.
“Bayangkan mereka sanggup mencemuh dengan berkata: ‘Mak bapa dia tidak pandai menjaga anak, sebab itulah anaknya jadi Mat Gian’,” katanya yang dijemput menjayakan kempen antidadah itu berdasarkan pembabitannya dalam program Belia Benci Dadah.
Dalam ceramahnya, Mawi menyatakan dia melihat sendiri kesan penagihan dadah yang dialami rakan sekolahnya.
“Dia terbaring di tengah jalan di perhentian bas Kulai kerana mengambil pil yang dipanggil abgon sehinggakan terpaksa dipapah untuk dibawa pulang.
“Saya pernah ditawarkan pil ini ketika menuntut di sekolah menengah selain melihat bagaimana saudara terdekat saya menemui maut akibat ketagihan najis dadah,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Thursday/BeritaUtama/20050929090534/
Article/indexm_html
Semalam aku keluar makan-makan tengahari bersama kawan-kawan di UPM. Seronok juga cuci mata time tengahari-tengahari nih. Hilang sedikit serabut XML, DTD dan segala makhluk 8 keturunan di lab underground. Tak sangka plak kami ketika ini adalah tarikh-tarikh penting pilihanraya kampus. Ternampak pulak di simpang gadis-gadis manis berderetan memakai t shirt serba merah. "Fuiyoooo !"-kata Hazly. Mereka mungkin penyokong aspirasi kot. Comel...comel. Ha ha ha
Teringat pulak aku zaman belajar di kampus. Masa-masa begini memang agak kritikal. Ingat lagi sewaktu tahun 3 di kolej. Waktu itu, hangat diperkatakan tentang terrorist. Sesiapa yang nampak berkopiah ke kelas atau menyimpan janggut-janggut sedikit, maka akan di cop sebagai - BAKAL DI ISA- kan. Macam biasa, waktu ini aku akan menjadi agen-agen geng-geng kopiah. Menyimpan barang-barang berbentuk x - files bila serbuan mungkin di buat. Mungkin aku kelihatan agak rockers dalam ramai-ramai ahli usrah, itu sebab aku menjadi tempat menyimpan barang-barang kawan-kawan. Ha ha Sebenarnya barang-barang tu bukan bole membunuh pun. Ianya cuma buku-buku ugama, buku usrah, akbar harakah, kaset ceramah ustaz-ustaz dan buku - buku doa. Opss, mungkin barang-barang ini bole membunuh periuk nasi sekumpulan professor-professor yang bakal mendapat tender dan projek.
Semalam juga diadakan ceramah Encik Mawi bin Ani. Terpampang mukanya di banner besar depan masjid UPM. Kami hanya mampu tergelak sesama sendiri bila melihat poster besar itu. Apa yang kami gelakkan adalah rahsia. Hua ha ha ha.
Aku tak berminat untuk menulis perihal Mawi selepas dia di 'spender' kan oleh Maxis, Astro dan akhbar-akhbar utama Malaysia semasa AF3. Tetapi, senario kampus UPM semalam membuatkan tangan aku gatal-gatal untuk menulis serba sedikit perihal Mawi dan dunia anak-anak muda Universiti. Mawi di khabarkan memberi ceramah tentang dadah jam 10 pagi semalam di UPM. Melihat petikan surat khabar Metro, Mawi berjaya menyampaikan sedikit ceritera kisah-kisah mat gian melayu dengan berkesan. Mawi bercerita tentang perihal pengalamannya. Dia tidak beretorik. Dia tidak membuai pendengar tentang impian-impian indah dan kosong atau fakta-fakta statistik penagih Malaysia secara terpeinci yang sekaligus membiolkan sesiapa yang mendengarnya. Cerita Mawi adalah cerita realiti. Cerita ringkas tentang betapa durjananya dadah yang membunuh anak-anak muda felda a.k.a melayu a.k.a islam hari demi hari. Maaf, aku tak bermaksud untuk mengketogorikan ceramah Mawi sebagai terbaik dan tepat. Tetapi terima kasih aku ucapkan kerana Mawi bercerita sedikit tentang senario kehidupan kasta rendah Melayu yang sebenarnya.
Senario pilihanraya kampus sejak sedekad yang lalu menampakkan matlamat yang agak kabur pada aku walaupun keadaannya panas kerana ada perebutan kerusi antara pelbagai pihak. Sepanjang pengalaman aku di kampus, samada pihak pro-kanan menang atau pihak pro-kiri menang, kemenangan itu hanya sekadar bilangan kerusi yang di miliki. Atau pun pihak mana paling ramai exconya. Matlamat untuk kemenangan yang di tulis bait-baitnya di atas kertas manifesto sekadar mencandukan pelajar-pelajar yang mendengar semasa rapat umum agar sewaktu hari mengundi, bilangan undi si empunya manifesto itu menjadi lebih tinggi. Pemimpin-pemimpin atau bakal-bakal pemimpin pelajar ini masih tenat dengan penyakit mat buku dan si skema. Mungkin sebab itu mereka-mereka ini mendapat pointer tinggi nak mampus setiap semester. Janji janji seperti membela kebajikan pelajar-pelajar kampus, memohon kemudahan sukan untuk pelajar atau memperbanyakkan pengangkutan ke asrama adalah candu-candu skema biasa yang di tabur untuk para pelajar. Tolong la, kebanyakkan pelajar hari ini mampu berkereta. Mampu berulang alik ke Mines. Tak percaya lihat di UPM. Tolong la jangan jadi skema.
Selain penyakit mat buku dan si skema, ada satu lagi penyakit yang melanda kepimpinan pelajar era baru ini iaitu penyakit mis-persepsi. Mungkin penyakit ini sudah lama. Biasanya, pengidap penyakit ini akan menganggap hanya dirinya sahaja atau ahli kumpulannya sahaja yang layak mendapat segala kebaikkan dan kemudahan. Atau hanya dirinya sahaja atau ahli kumpulannya sahaja yang layak masuk ke 'syurga'. Maka segala aktiviti, atau nasihat-menasihati, hanya berlegar-legar sekitar ahlinya sahaja. Golongan-golongan kaki longkang, kaki gitar, perokok tegar asrama, pelajar AF3 atau sesiapa sahaja yang tidak sekepala akan di biarkan begitu sahaja. Mungkin mereka adalah bakal ahli neraka. Dan penyakit ini lama kelamaan di lihat menjangkiti golongan-golongan kepimpinan kampus. Sebab itu, tiba sahaja waktu pilihanraya, kalau bole semua kerusi adalah milik golongan si polan bin si polan. Golongan yang bertentangan akan dilihat sebagai sampah dan busuk. Maka perebutan dan penyelewengan berlaku kerana penyakit ini telah berjangkit ke dalam jiwa kepimpinan pelajar. Ada yang sanggup guna pengundi hantu. Ada yang sanggup menipu undi. Ada yang sanggup memboikot. Ade yang sanggup bercampur gaul dengan parti-parti tertentu. Tiada langsung semangat perkongsian kuasa walaupun dari pihak kiri atau kanan.
Pada pendapat aku, pelajar-pelajar yang berangan-angan ingin menjadi pemimpin pelajar di kampus perlukan orientasi baru. Tidak perlu mengikuti kursus-kursus kepimpinan anjuran Biro Tatanegara. Cukuplah turun kebawah dan selami seni hidup golongan-golongan pelajar kasta rendah dan sederhana dikalangan para - para pelajar. Terjemahkan naluri mereka melalui tulisan-tulisan di journal-journal atau majalah kampus contohnya. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang dapat memahami disiplin hidup orang di bawahnya dan membuang penyakit mis-persepsi terhadap pelajar-pelajar berkasta rendah seperti mat-mat rokok, mat tembok, kaki warung dan orang yang tinggal sembahyang dan mendidik mereka dengan ilmu kita supaya mereka menjadi orang yang lebih baik. Bakal-bakal pemimpin ini perlu belajar sesuatu dari kisah hikayat Nik Aziz dan Mawi. Di sebalik cercaan golongan-golongan 'ahli syurga' yang tinggi maqamnya terhadap anak-anak muda yang rosak yang busuk, tiba-tiba Nik Aziz merendahkan sedikit darjatnye sebagai Murshidul Am untuk menjemput Mawi menyanyi di Kelantan. Ops, bukan bermaksud Nik Aziz turut sama menyanyi atau Nik Aziz bakal menjadi pengetua AF4. Nik Aziz sedang mengajar kita bagaimana seni dakwah dalam kepimpinan iaitu menarik 'ahli-ahli neraka' ini, mendidik mereka dan melatih mereka supaya mereka boleh menarik 'ahli-ahli neraka' yang lain.
Kabinet pemimpin atau bakal pemimpin pelajar perlu sedar yang mereka bukan sahaja berdepan dengan isu kemudahan sukan dan kemudahan bas. Berhentilah dari beretorik di bilik bersama rakan-rakan sekuliah, atau berbincang berdegar-degar tentang si polan yang hangat bercouple sehingga naik bulu roma. Para pemimpin pelajar perlu membuka zip minda melihat senario sebenar drama kehidupan rakyat. Pada pendapat aku, pemimpin pelajar bukan sahaja bertanggungjawap terhadap pelajar dibawahnya, tetapi ia juga adalah wakil suara pihak ke 3 untuk membela nasib rakyat pelbagai kasta di sebuah negara bernama Malaysia. Benar kita ada akta dan berlapis-lapis peraturan untuk ditempuhi semasa di alam kampus yang membataskan suara kepemimpinan kampus. Tetapi apa guna kebijaksanaan otak dan pointer tinggi nak mampus jika tak tahu berstrategi. Nik Aziz menjemput Mawi ke Kelantan, dan orang tak beranggapan Mawi sebagai pengganas atau tali barut PAS. Ini kerana Mawi bijak mengeksploitasi keadaan dan bijak berstrategi agar pihak kerajaan dan pihak PAS berada dalam situasi menang-menang. Rasanya Mawi patut diterima masuk belajar di UPM.
Sepatutnya tiada gelaran pihak berhaluan kiri atau kanan di university. Jika pemimpin mahasiswa itu benar-benar mahasiswa dan bukan seekor lembu, maka dia wajib tahu tanggungjawapnya sebagai pemimpin dan sesekala perlu belajar dari orang-orang yang dipimpin.
Sketsa Nik Aziz dan si Mawi setidak-tidaknya membuatkan kira berfikir sesuatu. Ops, bukan berfikir bagaimana ingin memasuki AF4 !
Sketsa Nik Aziz dan si Mawi setidak-tidaknya mengetuk kita perihal drama masalah kehidupan sebenar masyarakat di luar. Sketsa Nik Aziz dan si Mawi membawa kita cerita tentang durjana dadah yang membunuh anak-anak muda detik demi detik. Sketsa Nik Aziz dan si Mawi juga membawa cerita bagaimana cantiknya seni dakwah orang-orang yang berilmu terhadap golongan-golongan tepi tembok. Dan yang pasti seni ini sangat-sangat berguna untuk dipelajari oleh golongan-golongan kepemimpinan pelajar.
El Tamated
2 comments:
barakallah...
jelas,logic dan huraian yg padu.
tahniah roime, masri kita terus berjuang!
Salam..
Sedihnya lisa dengar..
jgn ulang ayat "ayat ahli2 neraka tu"
lisa ada kawan yg merokok,keluarga bermasalah..
dorang baik lah..
percayalah...
sedih lisa"maaf ye lisa emosional sikit pasal ni"
bukan manusia yg menentukan masuk syurga atau tidak..
tq ..komen anta bagus ...
Post a Comment