Ads

Sunday, January 14, 2007

Tribute to Kota Tinggi

Tett..tett...sms dari Ijot sampai, "Mi, aku kat kota (Kota Tinggi) ni. Lagi teruk (banjir) dari aritu. Susah la aku nak cakap mende2 camni".
...
...
Tett..tett...sms dari Ijot sampai lagi, "Melingkup lah (Bandar Kota Tinggi). Apa lagi. Air sampai kat Proton Edar. Ujan masih lebat lagi. Tak tahu la apa nak jadi lepas ni. Mati terus Bandar Kota (Bandar Kota Tinggi)".

* Proton Edar terletak kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar. Betul-betul di pinggir simpang jalan Kota Tinggi-Mersing-Desaru. Jika air sampai disitu, bermakna air di tengah bandar sudah melepasi paras bumbung bas. Apatah lagi bumbung kancil.

Apa yang ada di bandar Kota Tinggi ?. Pada saya bandar ini istimewa. Ya lah, saya lahir disini dan membesar disini. Jika saya lahir di Shah Alam, tentu saya akan kata bandar Shah Alam istimewa. Bandar Kota Tinggi yang ditengah-tengahnya ada sungai. Sungai Johor. Di pinggirnya ada air terjun. Bandar ini tenang. Penuh cerita dan sejarah melayu-melayu lama. Kawasan tengah bandar yang landai, di pagari hutan-hutan yang hijau. Saya pernah membawa Ajai, anak jati Pandan Indah Cheras ke kota tinggi. Setiap kali kami berbicara tentang Kota Tinggi, tak lepas dari bibir kami cerita-cerita bagaimana gembira semasa kami berkubang di air terjun yang sejuk. Tentang anak-anak gadis Kemboja yang berniaga kain yang comel-comel. Saya cintakan bandar Kota Tinggi. Ia bukan sekadar bandar. Anda sebut apa sahaja material yang berbentuk keindahan, semuanya ada disini. Bandar yang lari dari kemajuan teknologi yang berselirat. Bandar yang lari dari kesesakkan. Yang penuh dengan tradisi makanan yang lazat-lazat. Yang mana anak-anak gadis Felda yang cun-cun selalu datang bersama keluarga mencari kain-kain baju yang murah-murah.

Bandar yang harmoni dengan kaum Cina, India dan Melayu ibarat satu keluarga. Pembangunannya sederhana, kenderaan tidak banyak...dan...apa lagi yang lebih mahal..selain ketenangan. Anda nak cari handphone yang up-to-date. Jangan harap akan ketemui di bandar ini. Bandar ini tidak mengundang kemajuan luar yang berbondong-bondong. Sebab itu ramai anak muda (seperti saya) yang keluar mencari sedikit harta kekayaan dikala umur masih muda dan tenaga masih banyak.

Cerita 10 tahun dahulu....
Pernah saya menunggang motor bersama abang melalui jalan-jalan kampung di Kampung Lukut, Kampung Melayu untuk berkubang di air terjun. Melihat dari dekat kaki gunung panti yang hijau. Ntah kenapa ada sahaja tangan-tangan jahat menekeh-nekeh lerengnya. Gunung ini tidak segah kinabalu. Tetapi ia cantik. Nampak sayup-sayup dari kampung saya. Semasa kecil saya bersama rakan-rakan sekampung, sambil-sambil memerhati gunung ini dikelilingi awan putih yang seakan menari-nari disekelilingnya, selalu mengolah-olah cerita tentang gunung ini. Ada yang kata ianya kapal raja dahulu-kala yang terbalik. (
Gunung ini memanjang, dan jika dilihat sekali lalu, ia seperti sebuah kapal yang terbalik). Saya mempercayai kata-kata kawan-kawan. Meremang bulu roma kami masa itu. Ada sekali saya balik bersama abang dari tempat kerjanya, tanpa memakai helmet. Darah awal remaja, memang penuh dengan perkara-perkara gila. Tiba-tiba terpandang oleh kami segerombolan polis membuat road-block di jalan Mersing-Kota Tinggi berdekatan RRIM. "Cilaka !". Kami masuk ke denai-denai kelapa sawit, terus ke ladang-ladang estet, masuk ke kampung Lukut melalui jalan-jalan belakang rumah orang dan tembus semula ke jalan besar jauh didepan melepasi road-block. Ha ha ha. Satu kejayaan besar mengklepet abang-abang polis.

Jalan dari bandar kota tinggi ke mersing, penuh dengan bukit-bukit hijau yang turun naik dan ladang-ladang sawit. Pada saya ia seolah ladang-ladang Siberia di sini. Luas saujana mata memandang, berlatar belakang gunung Panti, tulang belakang air terjun kota tinggi . Jalannya bengkang bengkok tetapi landai dan selesa. Teringat sewaktu saya di tingkatan 4, menaiki motosikal buruk 90cc ayah untuk kejalan besar di Batu 8 melalui kebun-kebun getah dan sungai-sungai cetek yang kami sekampung gelarkannya "selat", duduk bertenggek di tepi jalan bersama 2 3 orang budak-budak bujang yang ntah-ape-ape-ntah sambil menunggu segerombolan pelumba-pelumba orang putih berlumba basikal untuk kejohanan Le Tour De Langkawi.

Lebih kurang 20 km dari bandar, ada sebuah teluk yang cantik. Seakan-akan pekan koboi ditepi laut. Saya bersekolah disitu. Ayah saya 20 tahun menggunting rambut di situ. Menyewa kedai bersama rakan-rakannya. Pernah sekali Syed Hamid datang meminta ayah "trim" rambutnya yang minimum itu. Balik rumah ayah berseloroh kepada kami. "Orang belajar tinggi-tinggi takde sapa yang pegang kepala menteri, abah yang tak sekolah selamba pegang kepala menteri". Pecah ruang rumah dengan gelak tawa kami. Tanjung Sedili, sebuah kampung nelayan yang banyak cerita-ceritanya. Teruja kawan-kawan di kolej bila saya cerita yang sekolah saya betul-betul ditepi pantai. Habis karat kotak pensil saya yang besi itu. Ya la, besi mana bole bertemu udara dari air garam laut. Karat la jadinya. Sebelum solat Jumaat, saya berembat ke tepi pantai bersama kawan-kawan mencari kulit kerang. Lelaki perempuan sama saja. Pukul 12 tengahari, air laut surut. Landai sahaja pantai sampai ketengah. Nampak jaring-jaring nelayan. Sampan-sampan nelayan sangkut dalam lumpur pantai. Kami duduk-duduk di bawah anak pokok bakau yang rendang kerana kepenatan. Kadang-kadang kami jumpa belangkas. Berbetah kami kawan-kawan. Ada yang kata belangkas boleh makan. Ada yang kata belangkas tak bole makan. Ntah ape-ape ntah. Buat basah baju saja. Masam bau badan di basahi peluh. Bila petang kami bermain bola di padang sekolah. Kami sedar ada "murid-murid" lain yang selalu menumpang padang kami. Tapi kami tak marah. Nak marah apenye, silap-silap mati kami kena pijak "murid-murid" asing itu.

"Cilaka, bila aku jaringkan gol je, mesti terpijak taik lembu", sumpah seranah saya terhadap "murid-murid" asing yang selalu sibuk-sibuk ketika kami main bola. Nak sembelih, takut tuan dia marah.

Dan di Kota Tinggi ini, terletak satu pulau yang tersembunyi dari pengetahuan massa. "Hidden island", getus saya kepada Ijot, adik saya. Temala. Terletak di pulau Sedili Besar. Putih pasirnya kerana tiada ramai orang datang. Terpelihara hutannya dan lautnya. Betul-betul mengadap laut china selatan. Yang selalu saya peratikan, orang-orang yang datang ramai juga yang memakai plat pangkalnya bertulis "S". Dari mana mereka tahu pulau ini ?. Tempat anak-anak muda yang nakal-nakal memadu asmara. Mungkin itu sebabnya barangkali..bah ini datang.

Ah, panjang jika saya mahu cerita lagi. Cerita tentang gadis kacukan melayu+belanda bernama Suriani yang pernah saya ngorat semasa di sekolah dulu. Dia sudah meninggal dalam satu kemalangan. Cerita tentang Sedili Kechil, kampung dipinggiran pantai 40 km dari pusat bandar, yang melahirkan seorang anak gadis yang betah berbahasa Inggeris. Gila ah!. Ada permata rupanya di dalam lumpur yang tebal.

Sebab itu saya cintai Kota Tinggi ini. Bandarnya yang terpencil tenang. Dilindungi gunung muda yang memancurkan air terjun yang sejuk dikala jam sudah pukul 1 tengahari. Air sungai Johor yang dipinggirnya ada 2 3 buah sekolah menegah yang masyur. Sekolah Tun Habab. Sekolah Laksamana. Kerdil kami bila berentap bola bersama mereka. Ya la, anak nelayan dan penoreh, main bola dengan budak-budak bandar yang tegap-tegap. Terlentang la kami jadinya. But bola kami pun cuma cap AhKang. Lain la kalo kami bawa "murid-murid" yang selalu menumpang padang kami.

Dulu ada satu kedai mee bandung berdekatan stesyen minyak belakang sekolah Tun Habab. Kaw-kaw rasanya. Tapi ntah kenapa, kedai itu hilang. Mungkin berpindah cawangan agaknya.
..
..
..
Pagi tadi, saya membaca suratkhabar. Bah untuk kedua kalinya. Lebih teruk dari yang pertama. 80 ribu (kalo x silap) dipindahkan. Ada yang terberanak di rumah. Ada rumah yang hanyut terus. Ada kereta yang terbenam di longkang. Toko-toko habis digenangi air. Kedai-kedai kemboja langsung tidak dengar cerita. Apa khabar kedai cina ABC yang pelanggannya rata-rata melayu. ABC nya halus seperti di letak kas-kas. Bergenerasi kami sekeluarga makan disitu. Ntah la, tidak terfikir kami tentang siapa penjualnya. Tapi pekedai dan pembeli, tiada halangan bagi kami untuk makan roti bakar dan ABC apek yang kaw-kaw. Seperti ada jiwa didalam ABCnya..Abang saya yang menjadi pengikut usrah di U, penyokong kuat Nik Aziz, orang yang didepan ketika reformasi 1997...hanya tersengih melihat kami adik beradik melahap ABC apek itu seketika dulu.. Di Kuala Lumpur, rata-rata ABC yang saya rasa, di kedai mamak atau di restoren melayu..hanya manis semata...walaupun ada aiskrim bertimbun di atasnya.

Ya, bandar yang menjadikan kami rapat. Dengan klinik yang doktornya peramah. Dengan toke cina kedai ariel TV yang bole kawtim harga. Dengan kedai makan melayu yang berselirat pelanggan cinanya dan indianya. Dengan kedai cermin mata yang darinya saya beli sewaktu pertama kali saya dikesan rabun jauh. Dengan kedai jam lelong-lelong. Dengan abang-abang teksi yang larung waktu sembahyang (aii, ini bukan sesuatu yang patut dibanggakan adik-adik ya !). Dengan penjual sayur yang bising-bising di bawah plaza arisun. Bandar yang melahirkan kumpulan rock leleh bernama Mercury. Pemain gitarnya, Fendi, bekas pelajar di Felda Wa Ha. Yang bikin konsert dipadang belia kampung saya malam-malam, dan tiba-tiba bekalan elektrik putus. "Kena sumpah orang kubur la tu", kata mak. Kebetulan padang belia, tempat saya mengasah bakat menjadi Beckham..atau Zidane..atau Ronaldo....betul-betul sebelah kubur. Bandar ini yang melahirkan Eddy Helmi Manan (dia orang Kota ke?), Ketua kumpulan nasyid Hijaz pun dari sini. Rahmat dari kumpulan Ekamatra zaman rock kapak dulu pun dari sini.

Ya lah, bandar ini tak melahirkan Dr Mahathir, Nik Aziz atau George Bush. Ape bole buat.


Hari ini bandar ini mati. Bandar yang banyak mencatat cerita-suka-duka cinta anak-anak felda. Bandar yang selalu kami hajati untuk dilawati sewaktu cuti sekolah. Bandar di mana Yep, Ijal dan Atan singgah untuk isap rokok dan berpeleseran sewaktu orang lain sedang tekun belajar disekolah. Tapi akhirnya mereka kantoi dengan bapak aku. Ha ha ha.

Hari ini bandar ini telah mati. Nun jauh di Serdang, saya sedang menaip tulisan ini, dan air hujan terus mencurah-curah di tengah bandar. Berapa ramaikan telah lemas?. Berapa ramaikan telah hilang harta benda ?.
Ya, kenapa semua ini berlaku ? Mudah mulut kita untuk mengatakan ini 'Bala'. Mungkin...Mungkin ini bala. "Tu la, sokong UMNO lagi"..."Allah nak cuci orang Johor"..."Banjir pertama cuci, banjie kedua bilas"...Mungkin ini yang keluar dari mulut orang...Ops, saya bukan seorang nasionalis. Sudah saya katakan, saya cukup benci semangan kenegerian. Apa tinggi seorang itu jika dia anak KL ?. Apa tinggi seorang itu jika dia duduk di Damansara Height ?. Apa tinggi seorang itu jika dia duduk di Shah Alam ?. Apa tinggi seorang itu jika dia diberanakkan di Langkawi ?. Apa tinggi seorang itu jika dia anak kacukan melayu+partugis+german+itali+lebanon..

Pada saya, Kota Tinggi hari ini akan memperlihatkan apakah kita ini manusia ?. Jika pertubuhan politik pula, cerita Kota Tinggi hari ni akan memperlihatkan adakah parti politik itu dihuni oleh manusia ?. Dan adakah Kota Tinggi itu sendiri orang-orangnya ialah manusia ?.

Semoga Kota Tinggi terus sihat hendaknya. Dan semoga ada sedikit ilmu setidak-tidaknya yang gugur bersama-sama air hujan di tanah landai yang menyimpan 1001 cerita.