Baru-baru ini minyak naik tiga puluh sen. Ianya terlalu banyak bagi rakyat. Dan Encik Najib meminta kita mengubah cara hidup ?. Ha ha ha. Saya rasa Encik Najib adalah seorang bakal Perdana Menteri yang penuh dengan humor. Mungkin dia ber'humor' atau sememangnya serius.
Cara hidup bagaimana yang harus rakyat ubah ?. Selama ini pun rakyat terbanyak hanya mampu membelanjakan 15 ringgit sehari untuk makan siang dan malam anak beranak, adakah selepas ini rakyat perlu ubah cara hidup dengan hanya membelanjankan 2 ringgit makan siang dan malam anak beranak ?. Adakah sebelum ini rakyat terbanyak yang berkelah di Hulu Yam atau Air Terjun Gabai, dan selepas ini rakyat hanya perlu berkelah sahaja di tepi longkang rumah masing-masing ?. Jika sebelum ini, rakyat terbanyak hanya menggunakan kereta proton second hand anak beranak untuk pulang ke kampung, dan selepas ini kita berbondong-bondong menaiki keretapi untuk ke Felda Simpang Waha Kota Tinggi atau menaiki bas ke Kg Pokok Mangga Melaka ?.
Bagi saya, cadangan mengubah cara hidup Timbalan Perdana Menteri adalah replika semata-mata. Untuk meningkatkan sistem pengangkutan awan di Malaysia, kerajaan sebenarnya tidak perlu menaikkan harga minyak sehingga sebanyak 30 sen. Pada pendapat saya, selama ini rakyat telah dibenakkan dari mengetahui tentang perancangan sebenar sistem pemerintahan negara. Kita tidak perlu berhujah terlampau jauh dengan membangkit-bangkitkan kemana pergi 500 billion ringgit duit Petronas. Jika kita teliti dengan berhati-hati, monumen-monumen kemegahan negara ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa kita selama ini jauh tersilap dalam memilih dan menilai pemimpin. Kita tersilap atau di paksa silap ?
Kita ada bermacam-macam monumen yang kewujudannya adalah membazir sahaja. Untuk apa kita bila gelanggang sukan bersepah-sepah di Bukit Jalil sedangkan kita sudah ada stadium dan gelanggang sukan yang bersepah-sepah di Kuala Lumpur ?. Untuk apa kita bina litar F1 jika kita sudah empunya 2 litar lumba di Shah Alam dan Pasir Gudang yang belum tentu samada pinjaman bank litar-litar ini sudah langsai atau belum. Untuk apa kita bina KLCC sedangkan tepiannya berselirat dengan setinggan dan pengemis ?. Untuk apa kita bina Cyberjaya sedangkan setiap tahun graduan IT yang mengganggur semakin meningkat ?.
Bayangkan jika duit-duit monumen dilabur untuk rakyat ?. Kita sudah pasti akan memiliki Universiti di setiap negeri. Kita juga pasti memiliki kolej Komuniti di setiap daerah dan mengurangkan budak-budak Felda dari isap dadah dan melanggan bohsia. Kita juga sudah pasti akan memiliki perpustakaan awam dengan beribu-ribu buku di setiap kampung dan desa. Budak-budak universiti sudah pasti diberi biasiswa penuh dan tak berhutang sebelum bekerja. Dan sudah pasti minyak takkan naik dalam kuantiti 'gila babi' seperti sekarang ini.
Ha ha ha. Saya hanya bergelak bila Enchik Najip mengajak kita merubah cara hidup. Cara hidup macamana lagi yang kami perlu ubah Encik Najib ?. Adakah jika dulu kita naik limosin ke pejabat di Putrajaya dengan 3 4 ekor pengiring, dan selepas ini kita berbondong-bondong naik bas tambang sahaja ?. Atau jika dahulu kita menaiki jet rasmi untuk ke Bangkok dan selepas ini kita naik sahaja bas ekspress dari Pudu Raya melintasi Bukit Kayu Hitam dan Hadyai ?.
Atau, adakah sebelum ini anak-anak kita makan sayur taugeh, dan selepas ini kita hanya perlu makan nasi berlauk garam sahaja ?. Atau dahulu kita berkelah di Tekala, dan sekarang jadilah jika kita berkelah anak beranak di veranda rumah ?.
Tidak salah untuk merubah cara hidup. Sememangnya minyak bukan selamanya berada di perut bumi. Ia adalah tenaga tanpa boleh di kitar dan habis jika sampai waktunya. Pada saya apa yang perlu diubah adalah struktur hidup kita yang selama ini mendisiplin diri kita dengan minyak. Jika kita mahukan rakyat mengurangkan penggunaan petrol, bukannya dengan cara menyuruh rakyat menukar kereta dari wira ke kancil. Pada saya, jika kerajaan serius mahu minyak di jimatkan, pastikan litar lrt dan kenderaan awam adalah berkala dan tepat. Untuk membolehkan kenderaan awan bergerak licin, pastikan juga traffic bandar-bandar utama tidak seharu sekarang. Oleh yang demikian, kenderaan persendirian harus diminimumkan di ibu kota. Seperti mengenakan cukai tambahan atau diberikan plat berasingan mengikut zon-zon tertentu dalam ibukota.
Litar-litar LRT juga hendaklah di bina menghala pusat-pusat perniagaan yang di penuhi manusia di waktu-waktu kemuncak. Bukan hanya tertumpu di shopping complex untuk budak-budak melepak atau tengok wayang. Lorong jalan kaki dan berbasikal hendaklah di bina sebanyak mungkin. Dan struktur taman perumahan adalah dalam kommuniti yang didalamnya terdapat segala kemudahan dan tidak memerlukan orang ramai memandu jauh untuk mencari sekeping sabun atau menghantar anak demam ke klinik.
Tapi apa kan daya ?. Minyak dah naik 30 sen. Demontrasi sahaja jawapannya.